Tuesday, December 22, 2009

Raja Petra gunakan 'fatwa songsang' Musdah Mulia halalkan homoseksual

Ustaz Moden's weblog (klik di sini) mendedahkan Raja Petra Raja Kamaruddin, pernah menggunakan 'fatwa songsang' Prof. Dr Siti Musdah Mulia, salah seorang pendokong Islam Indonesia untuk menghalalkan kegiatan homoseksual. Usaha menyiarkan pandangan songsang berkenaan homoseksual itu di laman Malaysia-Today dapat difahami dengan jelas adalah untuk menjustifikasikan tuduhan liwat yang dikenakan ke atas mentornya, Anwar Ibrahim ketika ini tidak mengandungi apa-apa kesalahan kerana selaras dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia.

Menurut Siti Musdah Mulia, "Para sarjana Muslim moderat (baca : Muslim Liberal) berpendapat bahawa tidak ada alasan untuk menolak homoseksual. Sesungguhnya kritikan terhadap homoseksual atau homoseksualiti oleh kalangan ulama arus perdana dan kalangan Muslim lainnya hanyalah berdasarkan penafsiran sempit terhadap ajaran Islam"

Selain Musdah Mulia, tidak dinyatakan senarai nama lain sarjana Muslim Liberal yang menyokong pendapatnya itu. Tidak ada nas dari Al Quran dan as Sunnah untuk menyokong kebenaran pendapatnya, selain daripada menggunakan hujah aqal yang bersumberkan barat.

Barangkali kerana keberanian mengemukakan 'fatwa songsang' sebegini, maka pihak Jabatan Negara, Amerika Syarikat menganugerahkan Pingat Keberanian Wanita Antarabangsa (International Women of Courage Award) kepadanya di Washington DC, dua tahun yang lalu.

Siapa Musdah Mulia ? Layakkah dia memberi fatwa ?

Musdah Mulia adalah profesor dan Pengarah Universiti Islam Nasional(UIN), Jakarta. Dia pernah menjadi Ketua Muslimat Nahdatul Ulama (NU), ketika Abdurrahman Wahid (Gus Dur) menjadi Presiden organisasi itu.

Ketika Gus Dur menjadi Presiden Indonesia (1999-2001), pada tahun 2000, Gus Dur telah melantik Musdah Mulia sebagai Ketua Pengarusutamaan Gender (PUG) untuk merombak semula hukum-hukum Islam di Jabatan Agama Islam Indonesia.

Musdah Mulia telah mengemukakan draf pindaan Kompilasi Hukum Islam (KHI) yang baru dengan memasukkan beberapa elemen 'liberal' iaitu 'gender', 'pluralisme', 'hak asasi manusia', dan 'demokrasi'. Klik di sini


Usaha-usaha pembaharuan Musdah Mulia telah dikritik hebat oleh kumpulan Islam Indonesia.Klik di sini . Mereka berpendapat Musdah Mulia tidak berkelayakan dalam perundangan Islam.

Di Indonesia Musdah Mulia adalah satu kelompok dengan Gus Dur yang dianggap sebagai para pendokong Islam Liberal. Dan Majelis Ulama Indonesia (MUI) telah memfatwakan fahaman Islam Liberal di Indoesia adalah haram. Klik di sini

Gus Dur adalah sahabat rapat kepada Anwar Ibrahim yang sama-sama dianugerahkan gelaran "Muslim Moderat" (baca: Islam Liberal) oleh orientalis barat yang terkenal iaitu John Esposito. Esposito merupakan Pengarah Center for Muslim-Christian Understanding (tempat Anwar menjadi pensyarah pelawat), di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Maka tidak hairan, selepas Anwar dilaporkan meliwat bekas pembantunya, Mohd saiful Bukhari Azlan, Gus Dur merupakan antara orang pertama yang berkunjung ke rumah Anwar untuk membela kes liwat Anwar.

Sidang media dan kenyataan pembelaan Gus Dur dibuat di Pejabat PKR. Ketika itu Raja Petra yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong totok Anwar turut serta mengambil peluang untuk mendapatkan fatwa daripada Gus Dur mengenai kes liwat Anwar itu.

Tidak berapa lama selepas itu, Raja Petra menyiarkan 'fatwa songsang' Musdah Mulia di laman Malaysia-Today sebagai pembelaan kepada Anwar.

Semua konspirasi ini mudah difahami. Musdah Mulia adalah anak buah kepada Gus Dur. Gus Dur pula merupakan sahabat rapat kepada Anwar Ibrahim. Ketiga-tiga mereka dalam kelompok yang sama iaitu dari aliran Islam Liberal yang diilhamkan oleh para orientalis dan disponsor oleh Barat.

0 comments: