Tuesday, December 1, 2009

Kes liwat : Tulisan Anwar tiada sambutan !

Tulisan Anwar di blognya hari ini, 1 Disember 09 [klik di sini] berkenaan kes liwat kurang sambutannya, jika dibandingkan dengan tulisan-tulisannya sebelum PRU 12. Sepatutnya komen-komen yang menyokong tulisannya melebihi 500 orang, sesuai dengan tarafnya sebagai Ketua PR dan bakal Perdana Menteri Malaysia. Malangnya komen-komen yang menyokongnya tidak lebih daripada 50 komen.

Ini sekaligus membayangkan kenapa tiada penyokong-penyokong Anwar mengiringinya atau menjadi penyokong di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Mana penyokong-penyokong Anwar yang dijanjikan oleh Ketua Angkatan Mudanya, Shamsul Iskandar Mat Akin ?

Kenapa Anwar hanya diiringi dengan 'body guard' yang berbayar dan barisan peguam belanya sahaja, mana semua rakyat Malaysia yang kononnya bersimpati dengan Anwar ?

Di mahkamah pun Anwar kehilangan sokongan, begitu juga di alam maya. Kebanyakan rakyat Malaysia lebih berwaspada, tidak mudah percaya lagi dengan permainan kata-kata Anwar.

Hujah Anwar dan kupasan

Hujah Anwar

'Permohonan saya untuk membatalkan pertuduhan fitnah telah pun ditolak mahkamah tinggi. Barisan peguam bela berhujah bahawa pertuduhan tersebut merupakan satu dakwaan jahat dan didalangi konspirasi politik'

Kupasan

Anwar sengaja tidak mahu menggunakan perkataan 'liwat'. Liwat diganti dengan 'fitnah'. Itu teknik biasa yang digunakan Anwar mengambil 'elemen agama' walaupun Anwar sendiri enggan bersumpah menggunakan elemen agama untuk mematikan 'fitnah' seperti mana yang didakwanya itu. Selagi Anwar tidak bersumpah menggunakan kalimah 'wallahi, wabillahi, wattalahi', selagi itu penggunaan kalimah 'fitnah' tidak dapat menutup kesalahan Anwar.

Jika Anwar mahu menggunakan elemen agama, tiada pilihan lain, Anwar perlu bersumpah muhaballah melawan sumpah Saiful. Anwar berani melakukannya ? Setelah kes 1998, di mana mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Anwar kerana meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandunya, Anwar tidak pernah bersumpah menafikan untuk membersihkan dirinya hingga ke hari ini.

"Sudah lama, kita tunggu sumpah Anwar", itu kata bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin.

Anwar mendakwa tuduhan liwat ke atasnya adalah 'dakwaan jahat dan di dalangi konspirasi politik'. Kalau benar mana buktinya ? Siapakah yang berkonspirasi dan apakah hujah-hujah yang boleh membuktikan dakwaannya ?

Kalau benar konspirasi politik, kenapa Anwar tidak menjadikan hujah utama dalam hujah rumusannya semasa memohon menggugurkan kes ?

Kalau benar, konspirasi politik, bermakna Anwar tiada di tempat kejadian dan Anwar boleh menggunakan hujah alibi untuk menggugurkan kes, tetapi kenapa Anwar tidak menyertakan nama-nama yang boleh menjadi saksi bahawa dia tiada di tempat kejadian pada tarikh, masa dan tempat yang dituduh.

Seandainya Anwar tidak mengemukakan nama-nama saksi yang membuktikan dia tiada di tempat kejadian, bermakna Anwar tidak dapat menyangkal hujah pendakwa bahawa dia berada di tempat kejadian pada tarikh, masa dan tempat kejadian tersebut.

Tuduhan pendakwa sangat spesifik iaitu, 'Bahawa kamu (Anwar Ibrahim) telah meliwat bekas pembantu kamu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada tarikh 26 Jun 2008, bertempat di Unit 11-5-1 Desa Damansara Kondominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur; di antara masa 3.01 petang dan 4.30 petang'.

Sepatutnya Anwar juga perlu menjawab secara spesifik mengikut tuduhan yang dikenakan ke atasnya berasaskan tarikh, masa dan tempat, tetapi Anwar gagal menjawabnya secara tepat dan apabila gagal, dia melencong di luar skop tuduhan iaitu dengan mencipta satu hipotesis baru iaitu 'teori konspirasi'.

Hujah Anwar

'Malah dikemukakan bukti penglibatan peguam negara dalam konspirasi kes terdahulu serta penglibatannya dalam pertuduhan terkini. Dilampirkan laporan suruhanjaya “mata lebam” yang menunjuki peguam negara terlibat memalsukan keterangan demi memastikan mereka yang mencederakan saya terlepas dari hukuman'

Kupasan

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata "Beban untuk membuktikan terdapat niat jahat di pihak pendakwa dalam membawa pertuduhan terkini terhadap pemohon terletak di bahu pemohon. Afidavit pemohon ada menyenaraikan Tan Sri Gani dalam apa yang didakwa cuba putar belit atau mencipta keterangan terhadap pemohon dalam tahun 1998. Walaupun begitu, tidak ada apa-apa yang menunjukkan perkara yang sama berlaku dalam kes terkini,"

Hakim berpendapat Anwar gagal membuktikan afidavit yang dilakukan ke atas Gani Patail benar-benar dapat membuktikan wujud konpirasi seperti yang didakwanya.

Anwar menyertakan 'laporan suruhanjaya mata lebam' 1998 yang kononnya membuktikan wujudnya konspirasi ke atasnya. Tetapi antara tuduhan terkini (liwat ke atas Saiful) dengan kejadian mata lebam adalah dua kejadian yang berbeza, malah tidak ada kaitan pun dengan kes terbaru Anwar.

Hakim berpendapat tidak laporan suruhanjaya dan afidavit Anwar tidak cukup untuk mahkamah mendapati dalam kes terkini mereka akan bersikap berat sebelah.

Apa itu afidavit ? Afidavit adalah satu surat kenyataan yang dibuat oleh seseorang dalam bentuk bertulis. Tidak semestinya afidavit itu benar-benar tepat kerana ia hanya bersifat pandangan peribadi seseorang dan belum diuji kesahihannya di mahkamah. Bagaimana boleh menentukan afidavit Anwar benar-benar tepat sedangkan ujian keshahihan belum dibuktikan di mahkamah ? Boleh jadi terdapat fakta-fakta palsu dalam afidavit itu, kerana ia hanya pandangan peribadi.

Kalau Anwar berpegang dengan afidavitnya, bagaimana pula dengan afidavit Azizan Abu Bakar, Meor Abd Razak, Hairani Nahfis yang mendakwa dirinya menjadi mangsa liwat Anwar ?

Berbeza dengan afidavit Meor dan Hairani, afidavit Azizan Abu Bakar terbukti benar apabila afidavitnya itu telah dibuktikan di mahkamah pada tahun 1999-2000 dan Azizan menang dalam kesnya apabila mahkamah mensabitkan kesalahan Anwar meliwatnya.

Bagaimana pula dengan afidavit Anwar ? Adakah sudah dibuktikan dalam perbicaraan mahkamah ?

Manakala status 'Laporan Suruhanjaya' bukanlah bukti valid di mahkamah. Antara 'Laporan Suruhanjaya' dengan 'inkues', inkues lebih valid kerana inkues hanya mengambil fakta-fakta dan menolak hujah-hujah 'hear say', sedangkan 'Laporan Suruhanjaya' mengambil kira kedua-dua aspek itu.

Kalau benar dakwaan Anwar betul, Anwar sewajarnya memfailkan dakwaan di mahkamah yang mengatakan Abd. Ghani Patail menyeleweng fakta pada tahun 1998. Selagi tiada fail di mahkamah, selagi tiada keputusan ke atas kes yang didakwanya itu, maka selagi itu, hujah Anwar hanya bersifat dakwaan semata-mata.

Sebenarnya kes Abd. Ghani Patail telah dibahaskan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini. Kedua-dua peringkat mahkamah itu telah memutuskan kes tersebut.

Pada 5 Mac 2009, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah memutuskan sijil pemindahan kes yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah sah, dan menolak bantahan yang dibangkitkan oleh peguam pembela. Abd. Ghani Patail menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara dan tidak terlibat dalam perbicaraan kes liwat terkini. Jaminan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah tidak boleh diterima kerana kuasa pentadbiran dengan kuasa kehakiman adalah dua entiti yang berbeza. Klik di sini dan di sini

Kemudian diikuti dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam meneliti perkara yang sama seperti yang dipohon Anwar.

Keputusan sebulat suara itu dimuktamadkan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdull Hamid Embong bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha memutuskan menolak permohonan Anwar pada 2 Julai 2009.

Kalau Anwar sudah kalah di kedua-dua peringkat mahkamah, apakah alasan Anwar masih menggunakan hujah yang telah tewas di mahkamah ?


Hujah Anwar

'Manakala mahkamah berpendirian lapuran perubatan sahaja tidak memadai, peguam bela saya berhujah pertuduhan harus membuktikan adanya kemasukan atau tembusan, kerana itu mahkamah perlu mempertimbangkan laporan pusrawi dan hospital kuala lumpur yang jelas menunjukkan tidak berlakunya fitnah liwat itu. Mahkamah juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 25 Januari 2009. Peguam Karpal Singh menyebut Mahkamah Persekutuan belum memberikan keputusan bersabit permohonan kami memperolehi dokumen. Hakim Zabidin Mohd Diah dengan bersahaja menjawab “tidak perlu.”'

Kupasan

Memang benar pendapat hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah laporan perubatan tidak memandai untuk Anwar membuktikan tiadanya berlaku penetrasi. Anwar perlu mengemukakan bukti-bukti lain untuk menyokong hujah itu, kerana dokumen Pusrawi tidak mencukupi untuk dijadikan asas bukti.

Begitu juga dengan pihak pendakwaan, tidak cukup bukti untuk membuktikan berlakukan kejadian liwat semata-mata bergantung kepada bukti dokumen.

Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Peguam Cara Negara berkata laporan-laporan tersebut bersifat statik, terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal dan tidak lengkap sepenuhnya tanpa bantuan sokongan daripada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan lain.

Sebab itu hakim memutuskan laporan doktor boleh dijadikan hujah oleh kedua-dua pihak sama ada pihak pendakwa atau pihak peguam bela.

Pihak pendakwaan perlu membuktikan berlakunya penetrasi berasaskan dokumen dan keterangan-keterangan lain, manakala pihak peguam bela perlu menimbulkan keraguan berhubung keterangan tersebut.

Selepas pihak pendakwa diberi peluang untuk membuktikan dakwaan-dakwaan mereka dengan bukti-bukti sokongan lain, pada peringkat ini, barulah hakim boleh membuat kesimpulan sama ada hujah pendakwa kukuh atau tidak.

Anwar hanya berhujah menggunakan dokumen daripada Hospital Pusrawi, sedangkan Dr Mohamad Osman (daripada Hospital Pusrawi) sendiri menjadi saksi kepada pihak pendakwa, bukannya pihak Anwar. Anwar hanya berpegang kepada 'dokumen' Dr Mohamad Osman, sedangkan doktor itu sendiri berpihak kepada pihak pendakwa. Jadi ?

Apatah lagi, pihak pengurusan Hospital Pusrawi sendiri membuat kenyataan media dan kenyataan bertulis yang mengesahkan Dr Mohamad Osman bukan doktor pakar, tetapi doktor biasa yang hanya memeriksa kes kemalangan dan kecemasan, bukannya kes liwat.

Sebab itu ditanya, apakah pihak Anwar mempunyai afidavit kukuh untuk mengesahkan 'laporan hospital Pusrawi adalah benar-benar kukuh dan relevan ? Jawabnya tidak ada, sekadar melampirkan 'dokumen Pusrawi' yang tidak disokong oleh mana-mana doktor dan pihak berautoriti daripada Hospital Pusrawi.

Maknanya, jika Anwar melampirkan 'dokumen' yang tidak disahkan oleh mana-mana pihak, sejauh manakah autoriti 'dokumen' itu ? Wajarkah Anwar berhujah dengan 'dokumen hantu' yang dicuri oleh blogger RPK (Raja Petra Kamaruddin)?

Anwar juga berhujah mengatakan 'dokumen hantu' itu disokong oleh laporan tiga doktor lain, kononnya dari HKL (Hospital Kuala Lumpur). Siapa doktor-doktor itu ? Apakah terdapat avidavit sokongan daripada tiga doktor itu yang menyokong kenyataan Anwar ?

Jawabnya tidak ada. Tiada ada laporan-laporan tiga doktor seperti yang didakwa Anwar itu dan tidak ada sebarang afidavit daripada mana-mana doktor yang boleh menyangkal hujah-hujah pihak pendakwa.

Kalau Anwar mempunyai afidavit para doktor seperti yang didakwannya, sudah lama Anwar akan mengarahkan para bloggernya untuk menwar-war di internet. Tetapi sampai hari ini, tiada satu pun dokumen yang diterbitkan (kecuali dari Pusrawi yang telah ditolak oleh pihak pengurusan Pusrawi sendiri).

Memang patut hakim berkata "Tidak Perlu" apabila peguam bela Anwar, Karpal Singh mahu menangguhkan kes ini lagi selagi keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berkenaan permohonan dokumen belum selesai.

Sampai bila mahu bertangguh lagi ? Kalau Anwar mempunyai bukti kukuh tidak meliwat Saiful, kenapa bersifat melengah-lengahkan perbicaraan ? Apa yang ditakutkan, kalau Anwar berada di pihak benar ?

Hujah Anwar

'Mahkamah tinggi hari ini juga memutuskan punyai kuasa untuk membatalkan satu pendakwaan bagi mengelak penyalahgunaan kuasa mahkamah: “Safeguard an accused from abuse.”Dihadapkan dengan bukti yang jelas sebegini pun mahkamah memilih untuk berpihak kepada pendakwa.ANWAR IBRAHIM'

Kupasan

Anwar memohon untuk dibatalkan kes liwat sebelum dibicarakan, sedangkan Saiful memohon kes ini dibicarakan. Adilkan kepada Anwar dan Saiful, jika hakim menurut kemahuan Anwar untuk dibatalkan kes sebelum dibicarakan sedangkan hujah-hujah Anwar untuk membatalkan kes sangat lemah ?

Sebab itu untuk keadilan kedua-dua belah pihak, hakim memutuskan kes ini dibicarakan terlebih dahulu. Barisan pendakwa berhak untuk mengemukakan hujah-hujah mereka manakala pasukan peguam Anwar berhak menangkis hujah-hujah pendakwa serta membawa bukti-bukti yang menunjukkan Anwar tidak terlibat dalam kes liwat.

Selepas kedua-dua pihak berhujah, barulah hakim membuat keputusan relevan atau tidak.

Anwar tidak perlu risau, rakyat bakal menjadi 'hakim' sekiranya keputusan hakim di mahkamah nanti tidak menyebelahinya.

Seandainya keputusan hakim mahkamah dan 'hakim rakyat' juga tidak memuas hati Anwar, Anwar mempunyai satu lagi hakim iaitu ALLAH SWT.

Tetapi dalam kes ini, seolah-olah Anwar melupakan 'keputusan hakim Yang Maha Berkuasa' yang menentukan Qada dan Qadar.

0 comments: