Friday, October 29, 2010

Kisah Rahimi Osman dikurung di Hotel Quality

Berikut merupakan kisah penahanan Rahimi Osman, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim dikurung di Hotel Quality, Shah Alam selama 5 hari 4 malam, bermula pada 28 Jun 2008, ketika Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis diliwat oleh Anwar;

Pada 28 Jun, ketika melawat Saiful di HKL, Rahimi menerima panggilan telefon bertalu-talu daripada penyokong-penyokong Anwar. Tetapi Rahimi enggan menjawab mana-mana panggilan tersebut.

Kemudian Ibrahim Yaacob turut menelefon Rahimi. Rahimi menjawab. Ibrahim berkata Anwar Ibrahim mahu berjumpanya di Quality Hotel dengan kadar segera kerana ada perkara mustahak yang mahu dibincangkan.

Rahimi akur dengan arahan Ibrahim Yaacub.Namun begitu, dia pulang ke rumahnya terlebih dahulu berjumpa dengan bapanya untuk mendapat nasihat daripada bapanya. Bapanya yang juga penyokong Anwar menasihatinya agar berjumpa dengan Anwar di hotel tersebut.

Akur dengan nasihat bapanya, pada lewat malam, 26 Jun 2008, Rahimi tiba di Hotel tersebut. Ketika itu, terdapat ratusan penyokong PKR dan juga orang-orang kanan Anwar sedang berkumpul.

Rahimi disambut oleh Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard), kemudian membawanya naik lif ke tingkat 10, tempat Anwar sedang menunggu.

Sesampainya di Tingkat 10, Anwar kemudian menarik Rahimi di sebuah bilik untuk berbincang secara peribadi. Anwar menanyakan kepada Rahimi apa yang telah Saiful beritahunya.

Rahimi memberitahu Anwar bahawa Saiful telah beritahunya, tentang dirinya telah diliwat, di pelbagai lokasi seperti kondominium Desa Damansara, Hong Kong, Bangkok dan Singapura.

Ketika mendengar penjelasan Rahimi itu, Anwar nampak sangat cemas dan selepas habis bercerita Anwar menyuruh Rahimi jangan membuka mulut lagi. Anwar arahkannya jangan memberitahu sesiapa apa yang diceritakan tadi berkenaan aktiviti liwat tersebut, termasuk kepada pihak polis.

Kemudian, Anwar terus mengarahkan kedua peguamnya yang berada di Tingkat 10 itu untuk menguruskan Rahimi. Kedua peguam Anwar itu adalah Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli yang berfungi menyiapkan satu Akuan Bersumpah untuk ditandatangani oleh Rahimi.

Seperti perjanjian awal, kedatangan Rahimi ke hotel itu semata-mata untuk berjumpa dengan Anwar dan selepas perjumpaan itu, Rahimi memohon izin untuk pulang ke rumahnya, namun kedua-dua peguam itu tidak mengizinkannya. Mereka mengarahkan Rahimi supaya tidur di Quality Hotel bersama seorang lagi rakan bernama Rashid Rosdi.

Di hotel itu, Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli sedang mengarang Akuan Bersumpah untuk Rahimi tandatangani. Akuan Bersumpah tersebut bakal digunakan untuk membantu Anwar. Kerana bimbang keselamatan dirinya, akhirnya Rahimi menurunkan tandatangannya pada akuan bersumpah berikut, meskipun dia sendiri tidak bersetuju dengan kandungan Akuan Bersumpah tersebut.

Ketika itu, hotel tersebut menjadi kubu bagi ratusan penyokong dan orang-orang kanan Anwar. Rahimi amat risau jika apa-apa terjadi kepadanya jika dia enggan memberikan kerjasama.

Rahimi ditahan di hotel tersebut untuk beberapa hari, dan pada malam itu juga telefon bimbitnya telah diambil oleh YB Yusmadi Yusof. Entah apa yang dicari oleh Yusmadi dalam telefon bimbitnya dan Yusmadi memulangkan semula telefon bimbitnya pada keesokannya harinya.

Semasa ditahan di hotel itu, Rahimi dikawal rapi oleh beberapa orang dipercayai yang penyokong kuat Anwar.

Dalam pada itu, peguam-peguam Anwar (Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli) telah membuat beberapa kali pindaan kepada Akuan Bersumpah yang telah ditandatangani, kali ini mereka sendiri menambah cerita rekaan dengan memalitkan nama Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dalam akuan bersumpah Rahimi.

Pada ketika itu baru Rahimi tahu betapa kotornya permainan politik Anwar dan rasa menyesal kerana menyumbang tenaga selama ini untuk membantu karier politiknya.

Tidak cukup dengan Akuan Bersumpah, peguam-peguam itu juga mengarahkan Rahimi untuk membuat rakaman video yang kandungannya dikarang oleh mereka sendiri.

Rahimi kemudiannya dibawa ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Old Town Petaling Jaya untuk menandatangani Akuan Bersumpah yang terakhir.

Dan selepas menandatangani Akuan Bersumpah terakhir itu, Rahimi dibenarkan pulang, tetapi masih di bawah pengawasan ketat mereka lagi. Segala pergerakan Rahimi dipantau dan mereka kerap menelefonnya untuk mengetahui status terkini Rahimi.

Pada suatu ketika, pernah mereka menelefon Rahimi dan meminta dia bermalam di rumah Anwar di bawah pengawasan beberapa orang.

Ketika polis menahan Anwar supaya memberi keterangan kepada pihak polis, Rahimi dan Rashid telah dibawa lari oleh orang-orang Anwar ke pelbagai tempat. Dari Tropicana, ke Hotel Armada serta ke sebuah pondok agama di Kajang.

Rahimi hidup seperti pelarian ketika itu. Dilayan oleh orang-orang Anwar seperti orang bersalah menyebabkan jiwanya memberontak dan berazam tidak mahu lagi mendengar arahan-arahan mereka.

Akhirnya, Rahimi bertekad kembali ke rumahnya. Selepas beberapa bulan, Rahimi masih lagi dihubungi oleh orang-orang Anwar.

Apabila kes liwat bermula di mahkamah, nama Rahimi telah disebut oleh Saiful dalam keterangannya. Ketika itu, Latheefa Koya telah menelefonnya untuk berjumpa.

Rahimi hadir dalam perjumpaan dengan Latheefa seperti yang diminta. Ketika itu Rahimi sebenarnya takut untuk berjumpa dengan peguam Anwar itu, bimbang kalau-kalau dirinya akan ditahan kembali.

Sebelum berjumpa dengan Latheefa Koya, Rahimi sempat berpesan kepada isterinya, dengan berkata jika dia tidak kembali dalam masa 4 jam selepas perjumpaan itu dan dia tidak dapat dihubungi, Rahimi meminta isterinya membuat laporan polis.

Dalam perjumpaan dengan Latheefa itu, peguam Anwar itu sekali lagi memintanya untuk menandatangani satu lagi akuan bersumpah kerana akuan bersumpah yang telah saya tandatangani sebelum ini telah hilang. Rahimi pura-pura bersetuju di depan peguam Anwar itu dan meminta peguam itu menelefonnya selepas telah siap sedia dengan akuan bersumpah baru itu.

Selepas perjumpaan itu, Rahimi pulang ke rumahnya, dia telah menukar nombor telefon bimbitnya dan berpindah rumah. Namun mereka berjaya juga mengesan Rahimi.

Semasa kes bersambung semula di mahkamah dan semakin hangat, Latheefa sekali lagi menelefon Rahimi untuk berjumpa dengan Peguam Karpal Singh. Namun Rahimi tidak melayan permintaan mereka itu.

Apabila menyedari Rahimi mula tidak mahu memberi kerjasama, Anwar sendiri telah menelefon bapa Rahimi untuk menyuruh anaknya berjumpa dengan peguam-peguamnya.

Bapa Rahimi telah memaksa Rahimi berjumpa dengan peguam-peguam Anwar itu. Rahimi keberatan. Berlaku perang dingin di antara Rahimi dengan bapanya yang merupakan penyokong kuat Anwar. Rahimi beritahu bapanya, Anwar hanya mahu peralatkannya, Anwar adalah kaki penipu dan tidak boleh dipercayai, kata Rahimi.

Bapa Rahimi akhirnya tidak dapat membuat pilihan untuk mempercayai kata-kata Anwar yang merupakan individu yang disanjungnya atau mempercayai kata-kata anaknya sendiri yang sudah sekian lama bekerja dengan Anwar.

0 comments: